(HUKUM2 ISLAM)

Hukum-hukum islam-PART

Bolehkah orang Islam menyambut hari lahir, memotong kek, meniup lilin kek hari jadi dan menyanyi lagu hari lahir?

Para ulama tidak bersepakat mengenai isu menyambut hari lahir. Ada yang mengatakan ia tidak dibenarkan dan ada yang mengatakan ia dibenarkan selagi mana tiada aktivit-aktiviti yang bercanggah dengan Islam seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Memotong kek dan berkongsi dengan sahabat-handai adalah dibenarkan juga menurut kumpulan ulama yang kedua selagi mana seseorang itu tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang wajib.
Bagi meniup lilin di kek hari jadi pula, ia adalah harus kerana tiada larangan dalam Islam. Menyanyikan lagu hari lahir juga tiada salahnya. Ini kerana tiada sebarang dalil yang menghalang perbuatan demikian. Umat Islam hanya ditegah dari melakukan benda-benda yang haram dan juga amalan keagamaan selain Islam seperti meniru cara pengibadatan dan ritual agama
Adakah menonton wayang dibenarkan dalam Islam?

Ada beberapa perkara yang harus diambil kira jika hendak menonton wayang. Pertama, cerita yang ingin ditonton tidak boleh mempunyai unsur-unsur yang dilarang oleh Islam. Kedua, bersama siapa anda pergi menonton wayang itu juga perlu dijaga. Jika bersama keluarga contohnya, maka boleh. Tetapi, secara kesuluruhan, menonton wayang ini tidak digalakkan di dalam Islam kerana mendapat unsur yang kurang baik seperti berada di dalam bilik yang gelap bersama orang-orang yang bukan

Adakah bersembang menerusi internet atau chatting dibenarkan Islam memandangkan ia tidak melibatkan pergaulan secara fizikal antara lelaki dan wanita?

Islam melarang pergaulan bebas antara lelaki dan wanita untuk mengelak dari hasutan Syaitan untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang haram seperti zina, gangguan emosi dan sosial. Oleh yang demikian, apa sahaja cara yang boleh menyebabkan perkara-perkara ini berlaku perlu dielakkan. Bersembang dan bergaul di internet, walaupun ia bukan dalam kategori pergaulan bebas secara fizikal, ia masih dianggap sebagai pergaulan bebas yang boleh mencetuskan hasutan Syaitan. Oleh itu, jika tiada keperluan bagi seseorang itu untuk bersembang di internet, maka ia wajib dielakkan. Malah, Islam secara umumnya melarang perkara-perkara yang tidak berfaedah dan membuang masa.Jika ada keperluan, maka ia haruslah dibataskan untuk tujuan keperluan tersebut sahaja dan tidak lebih dari itu.

Tiada salahnya pergaulan antara lelaki dan wanita melalui internet asalkan mereka dapat menjaga adab dan etika sepanjang perbualan. Perbualan tersebut haruslah yang bermanfaat dan bersebab seperti ; mesyuarat perniagaan secara online, kerja sekolah, perbincangan akan isu-isu semasa dan sebagainya.

Hendaklah juga tidak berlarutan sehingga mengabaikan kewajipan agama seperti solat, kerja sekolah, menjaga anak dan sebagainya.

Bolehkah membawa alat elektronik (telefon bimbit/ PDA) yang dimuat-turunkan ayat-ayat alquran ke dalam tandas?

Al-Quran adalah kitab suci yang wajib dimuliakan dan tidak boleh dibawa ke dalam tandas. Al-Quran yang berada dalam bentuk elektronik, jika tidak dipaparkan ayat-ayatnya, bukanlah dianggap sebagai Al-Quran. Ini adalah kerana ia disimpan dalam memori dalam bentuk elektrikal, dan tiada bentuk penulisan. Oleh itu, alat-alat elektronik yang menyimpan ayat-ayat Al-Quran, boleh dibawa ke tandas selagi mana ayat-ayat tersebut tidak dipaparkan di skrin. Begitu juga, suara pembacaan Al-Quran tidak boleh diperdengarkan dalam tandas.

Bolehkah seseorang itu memakai pakaian yang dicetak dengan terjemahan ayat-ayat Qur’an?

Adalah dilarang untuk memakai pakaian yang dicetak dengan ayat-ayat Qur’an kerana pakaian tersebut akan menjadi kotor, dicuci, dikeringkan dan juga terdapat kemungkinan apabila dipakai, ia dibawa masuk ke dalam tandas. Akan tetapi, memakai pakaian yang dicetak dengan terjemahan ayat-ayat Al-Qur’an adalah dibenarkan. Walaubagaimanapun, kehormatan haruslah diberikan kepada pakaian sebegini, seperti tidak memakainya di tempat yang kurang baik. Ia juga dilarang dari dicetak di bahagian belakang atau bahagian bawah baju tersebut.

Bolehkah seseorang itu mengumpul patung-patung sebagai hobi?

Rasulullah s.a.w melarang kita dari menyimpan patung berbentuk manusia dan binatang yang cukup sifatnya, kerana ini boleh menimbulkan dalam diri kita sifat mengagungkannya, yang merupakan bibit-bibit bagi syirik.

Namun, untuk menyimpan anak patung mainan kanak-kanak yang cukup sifat, atau perhiasan binatang yang tidak cukup sifat, maka ia dibenarkan dalam Islam, tetapi tidak digalakkan kerana ia merupakan satu perbuatan yang tiada mendatangkan manfaat untuk akhirat.

Bolehkah seorang Islam menceburi bidang lukisan dan grafik?

Terdapat hadith yang jelas yang melarang orang Islam dari menggambarkan haiwan yang hidup. Tujuan disebalik larangan ini adalah untuk mengelakkan dari amalan menyembah lukisan-lukisan tersebut.

Jika sebuah lukisan, tidak kira samada yang menggambarkan seluruh tubuh atau sebahagiannya sahaja, makhluk yang betul atau yang tidak wujud, adalah untuk tujuan pendidikan, maka ia dibenarkan, In Sya Allah. Walaubagaimanapun, seseorang itu dilarang melukis perkara yang akan disembah, seperti melukis gambar tuhan-tuhan bukan Islam yang akan digunakan untuk disembah.

Apakah hukumnya menziarahi orang sakit?

Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan silatul rahim sesama Islam.

Amalan ziarah di kalangan orang-orang Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar dalam masa sakit sahaja. Amalan ziarah ini telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap kaum keluarga, yang tua, bujang dan lain-lain. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana yang disarankan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggal mu di dalam syurga.(Riwayat at-Tirmizi)

Bolehkah seorang pelajar Islam menghadiri majlis “Prom Night” sekolahnya?

Islam melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini adalah untuk mengelakkan godaan atau perasaan yang memberahikan yang mungkin tercetus antara hubungan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Oleh itu, jika majlis “Prom Night” mengandungi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, dan ia biasanya antara ciri-ciri utamanya, maka dilarang bagi orang Islam untuk menghadirinya. Lebih-lebih lagi jika terdapat aktiviti menyanyi dan menari di dalam majlis tersebut.


About this entry